SHAH ALAM, 6 APRIL: Kurang sedekad penubuhannya, Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (Koyaqin) diakui sebagai koperasi masjid kedua terbaik negara.
Pengiktirafan itu diterima daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2022.
Atas kejayaan itu, Koyaqin juga menjadi rujukan masjid-masjid seluruh negara yang ingin menubuhkan koperasi.
Diasaskan pada 2015, koperasi dengan 343 ahli itu memperoleh pendapatan tahunan mencecah RM2.38 juta pada 2021. Sebanyak 10 peratus dividen tahunan diagihkan kepada ahlinya.
Dua bulan selepas penubuhan, Koyaqin membuka kedai runcit iaitu Yaqin Mart bersebelahan Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya di Petaling Jaya.
Ia memudahkan penduduk setempat mendapatkan barangan harian dan menggalakkan orang ramai datang ke rumah ibadat itu.
“Jemaah ke masjid ini pun senang dapatkan barangan dapur. Anggota koperasi iaitu anak-anak kariah juga dapat manfaat. Jika mereka membeli barangan di sini, setiap belian akan dapat mata ganjaran.
“Kita guna konsep sama seperti pasar raya, bila dapat ganjaran pembeli seronok dan akan datang lagi,” kata Pengerusinya Datuk Lamien Sawiyo, ketika ditemui Selangorkini pada 7 Mac.
Pada tahun pertama, Yaqin Mart memperoleh jualan RM88,407. Ia terus meraih keuntungan saban tahun dan pada 2021, nilai jualan tahunannya mencecah RM580,000.
Pada 2022, kedai runcit berkenaan mempunyai bangunan dua tingkat sendiri dibina dalam perkarangan Masjid Nurul Yaqin.
Pulangan lumayan
Selain peruncitan, Koyaqin turut memborong minyak masak dan ayam mentah. Kedua-dua barangan itu dijual dengan jenama Yaqin.
Produk berkenaan dipasarkan ke koperasi masjid lain serta beberapa kedai runcit kecil sekitar Petaling Jaya.
“Produk dengan jenama Yaqin dapat mempromosikan lagi nama koperasi. Kami akan terus mencari peluang untuk menambah produk dengan jenama Yaqin mengikut kesesuaian,” kata Lamien.
Pada 2018, Yaqin Bina pula ditubuhkan, cabang baharu koperasi bagi aktiviti pembinaan. Setakat 2021, kerja pelaksanaan bernilai RM1.3 juta selesai dilakukan.
Aktiviti koperasi yang aktif memberi pulangan lumayan kepada ahli kariah. Selain dividen tahunan, tabung kebajikan dan khairat kematian, dana masjid turut bertambah hasil sumbangan koperasi.
Sumbangan Koyaqin kepada masjid digunakan untuk aktiviti kebajikan dalam kariah atau di luar kariah.
Antaranya hidangan berbuka percuma kepada jemaah masjid setiap kali Ramadan menjelma. Diuruskan Yaqin Catering, kira-kira 200 jemaah masjid mendapat manfaat itu.
Tahun ini khidmat pelajar daripada Institut Makanan Malaysia (FIM) bertujuan mengurangkan beban kerja memasak menu buka puasa.
Khidmat pakar dalam bidang makanan membolehkan kualiti makanan dipertingkatkan. Pengurusan koperasi tidak mahu sekadar melepas batok di tangga dalam urusan berkenaan.
Kata Lamien, masjid harus terlibat dalam perniagaan menerusi koperasi bagi meningkatkan pendapatan rumah ibadat.
Namun sehingga Mac tahun lalu hanya 462 buah koperasi kariah masjid didaftarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Bilangan ini sebenarnya masih kecil lagi kerana di seluruh negara, kita ada 6,514 masjid dan 18,279 surau yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat melakukan ibadat harian, malah sebenarnya lebih jauh daripada itu untuk kegiatan komuniti. Masjid mempunyai potensi dan aset membangunkan ekonomi,” katanya.