Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 5 APRIL: Penduduk pesisir pantai sekitar Pelabuhan Klang disaran bersiap siaga menghadapi kemungkinan limpahan air laut susulan fenomena air pasang perbani yang diramal berlaku hari ini sehingga Sabtu.
Pusat Hidrogafi Nasional berkata paras air laut di Pelabuhan Klang dijangka setinggi 2 meter pada 6.07 petang dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah pesisir pantai.
“Paras air laut setinggi 2.2 meter dijangka berlaku jam 6.38 petang, 7.08 petang dan 7.38 petang pada Khamis sehingga Sabtu,” maklumnya menerusi Facebook.
Agensi itu memaklumkan fenomena sama dijangka berlaku di Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak dan Batu Pahat, Johor.
Orang ramai dinasihatkan supaya memantau keadaan cuaca semasa selain merujuk agensi berkaitan untuk informasi keselamatan kawasan pesisir pantai.
Maklumat lanjut mengenai paras pasang surut boleh didapati menerusi laman sesawang hydro.gov.my/ramalanpasangsurut/