Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hikmah Ramadan, bentuk peribadi dan disiplin umat Islam (VIDEO)

SHAH ALAM, 5 APRIL: Ibadah puasa mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah kepada manusia selain mendidik umat Islam untuk berdisiplin berikutan waktu berbuka yang berubah.

Menghuraikan ayat 184 Surah al-Baqarah yang dibaca Dato’ Menteri Besar, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata ayat itu juga menceritakan kelonggaran untuk golongan tertentu ketika berpuasa.

“Dalam berpuasa banyak pengajarannya, waktu berbuka berubah-ubah seolah-olah kita dilatih dalam bulan Ramadan supaya berdisiplin mengikut waktu.

“Allah SWT juga memberi kelonggaran, kemudahan kepada kita supaya kita tidak rasa perkara ini membebankan,” katanya yang menekankan kelonggaran dalam berpuasa perlu diganti termasuk membayar fidyah jika perlu.

Beliau membuat huraian itu dalam program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor yang membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata puasa mengandungi pelbagai rahsia sama ada membabitkan kesihatan, kepimpinan, sosial mahupun ekonomi.

“Pada saya yang menarik dalam Islam ini salah satu kaedah kafarah adalah fidyah atau bebaskan hamba dan beri makan kepada orang miskin.

“Penting jaga orang miskin dalam kehidupan kita dan Allah sebut dalam Surah al Maun, ia peringatan kepada kita untuk jaga ekonomi, kehidupan dan kebajikan satu keperluan dalam kehidupan,” katanya.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin
Episod tujuh – bina kasih dalam keluarga
Episod lapan – doa pakaian ummah
Episod sembilan – tuntut ilmu
Episod 10 – hidup harmoni masyarakat
Episod 11 – ujian pengukur iman
Episod 12 – akidah keturunan Nabi Yaakub
Episod 13 – pemimpin disayangi taat kepada Pencipta


Pengarang :