Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Pasukan Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin, Batu Uban, George Town pada 4 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Anggota polis dipercayai seludup mercun berdepan tindakan tegas

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Anggota polis yang ditahan kerana disyaki menyeludup mercun dan bunga api di Machang, Kelantan Selasa lalu akan dikenakan tindakan tegas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata selain berhadapan tindakan undang-undang, anggota itu juga akan dikenakan tindakan dalaman kerana menggunakan kenderaan pasukan pada luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti anggotanya terlibat dengan kegiatan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, anggota polis berpangkat lans koperal ditahan di Machang bersama rakannya ketika membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000.

Ketika ditahan kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu menggunakan pacuan empat roda milik PDRM untuk melakukan kegiatan tersebut.

Acryl Sani berkata kedua-dua suspek direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Beliau turut mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :