Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Datuk Sri Yap Ngan Choy (tiga,kanan) merasmikan majlis pecah tanah Taman Industri Pintar NCT di Movenpick Convention Centre, Sepang pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB rasmi pecah tanah projek taman industri pintar, rancak ekonomi negeri

SEPANG, 7 APRIL: Dato’ Menteri Besar merasmikan majlis pecah tanah Taman Industri Pintar NCT (NSIP), projek pertama diluluskan bawah Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

Pembangunan lebih 296.4 hektar yang dimajukan NCT Group of Companies (NCT Group) itu bakal menampilkan kemajuan infrastruktur, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi moden.

Taman industri tersebut sebahagian daripada sepuluh projek di Sepang dan Kuala Langat, yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) seperti diumum Julai tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap memaklumkan projek itu titik permulaan bagi kedua-dua pihak, iaitu NCT Group dan Kerajaan Selangor dalam mengetengahkan potensi pembangunan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang media selepas ,ajlis pecah tanah Taman Industri Pintar NCT di Movenpick Convention Centre, Sepang pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya sangat gembira kerana ia bukan sekadar permulaan bagi NCT Group tetapi bagi pembangunan di Selatan Selangor menerusi projek IDRISS. Ini membuktikan ia bukan sekadar impian tetapi realiti apabila majlis pecah tanah bermula,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan NCT Group Datuk Sri Yap Ngan Choy menjangka projek meliputi tiga fasa siap dalam tempoh 10 tahun dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion.

“Ini merupakan projek ke arah masa depan dan yakin dapat bekerjasama dengan pelabur berpotensi antaranya dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, Taiwan dan Australia,” katanya.

NSIP yang menumpukan sektor semikonduktor, elektronik dan elektrikal serta farmaseutikal bakal dilengkapi 101 unit kilang berkembar dan 27 plot perindustrian dalam fasa pertama.

Taman industri itu bertindak sebagai pusat sehenti untuk memberi perkhidmatan kepada pihak berkepentingan seperti Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

IDRISS yang membabitkan pembangunan seluas lebih 16,000 hektar untuk memastikan agihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.

 

 


Pengarang :