Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS Suhaimi Kasdon (barisan tengah, lima, kiri) dan Ketua Pegawai Korporat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS Idris Ishak (barisan tengah enam, kanan) bergambar bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) ketika Iftar Ramadan Kasih PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 April 2023. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKNS salur RM5,000, bantu pembangunan rumah kebajikan Pekeas

SHAH ALAM, 7 APRIL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas) sempena majlis berbuka puasa anjuran perbadanan itu di sini malam ini.

Ketua Pegawai Korporat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS Idris Ishak berkata inisiatif tersebut bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim selain menampung kos operasi serta keperluan rumah kebajikan tersebut.

“Ini merupakan tradisi di PKNS sejak 2014, iaitu kita mengagihkan sumbangan kepada pelbagai pihak menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan tahun ini menerusi program Ramadan Kasih PKNS kita memberi sumbangan secara meluas kepada gelandangan, anak yatim dan asnaf,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Katanya, majlis tersebut turut meraikan 500 kakitangan perbadanan itu.

Turut hadir, EXCO Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS Suhaimi Kasdon.

Idris berkata beliau bersyukur kesemua enam siri program yang dirancang sepanjang Ramadan tahun ini berjalan dengan jayanya menerusi kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan di sekitar Selangor.

“PKNS menggunakan peruntukan wakalah agihan zakat perniagaan keseluruhannya berjumlah RM54,000 untuk kesemua program tersebut,” katanya.

Enam siri aktiviti tersebut adalah Gotong Royong Ramadan Kasih PKNS di rumah Pekeas, Raga Ramadan Kasih PKNS santuni golongan gelandangan, Bekal Ramadan Kasih PKNS sumbangan kepada asnaf, edaran bubur lambuk kepada kakitangan dan orang awam, Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS bersama anak yatim PEKEAS serta Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS.- BERNAMA


Pengarang :