KAJANG, 9 APRIL: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa berbuka puasa bersama 500 petugas barisan hadapan kesihatan menerusi program iftar perdana di Hospital Serdang di sini.
Dato’ Seri Amirudin Shari tiba kira-kira jam 6.30 petang diiringi EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah dan Pengarah Kesihatan Negeri Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman.
Amirudin dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis berbuka puasa pada tahun ini diadakan secara berasingan dengan penjawat awam lain sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
“Kita anjurkan majlis secara berasingan tidak seperti tahun sebelum ini bersama pasukan keselamatan, guru dan petugas kesihatan.
“Ini kerana kita mahu lihat sekiranya ada benda kritikal dan wajar dibina pada masa depan selain mendapatkan maklum balas. Kita mahu wujudkan kesimbangan supaya dapat perkukuh dan beri tumpuan pada pusat kesihatan,” katanya.
Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak turut menunaikan solat maghrib secara berjemaah bersama petugas barisan hadapan kesihatan.