Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan anak-anak yatim selepas bergambar bersama pada majlis penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim di Masjid Annur, Kampung Melayu Wira Damai,Batu Caves pada 9 April 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sumbangan Aidilfitri ringan beban penduduk buat persiapan raya

Oleh SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 9 APRIL: Seorang pembantu kedai buku bercadang menggunakan bantuan Aidilfitiri sumbangan Masjid Annur di sini untuk membeli kelengkapan hari raya.

Afikah Mursidi, 31, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna buat dirinya memandangkan jumlah pendapatan bulanan tidak cukup untuk membuat persiapan raya.

“Jika diikutkan pendapatan gaji hari tidak cukup untuk persiapan hari raya, jadi saya menjual roti john secara sambilan di depan rumah.

“Dengan sumbangan ini, selain baju raya, dapat juga membeli kelengkapan lain seperti kasut dan perbelanjaan sekolah nanti,” katanya.

Sementara itu, Eslawijah Nasehan, 48, pula terharu, sumbangan itu dapat meringankan beban dan bercadang mahu menyimpan sebahagian wang untuk perbelanjaan anak-anak.

“Alhamdulillah, saya terharu, sumbangan ini dapat meringankan beban dan membantu persiapan serta membeli kelengkapan untuk Aidilfitri ini,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 54 anak yatim dalam kariah Masjid Annur, Kampung Wira Damai, Batu Caves.

Pihak masjid menggunakan 70 peratus kutipan tabung yang dikumpul untuk diagihkan kepada kariahnya manakala baki 30 peratus digunakan untuk bantuan persekolahan.

Setiap penerima mendapat RM500 selain cenderahati berupa telekung dari pihak masjid.


Pengarang :