Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan jemaah menadah tangan memohon keberkatan Allah sempena program Qiamullail Perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB qiamullail bersama 2,000 jemaah, manfaat ibadah 10 malam terakhir

SHAH ALAM, 12 APRIL: Bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan, Dato’ Menteri Besar bersama hampir 2,000 umat Islam menyempurnakan ibadah qiamullail di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama jemaah memulakan program Qiamullail Perdana pada jam 4.30 pagi dengan mengerjakan solat sunat tahajud lapan rakaat.

Beliau berkata qiamullail beramai-ramai merupakan acara tahunan dianjur Kerajaan Negeri, dengan membenarkan jemaah bermalam di masjid untuk mencari malam Lailatul Qadar.

“Alhamdulillah ini menunjukkan kemakmuran dan kemeriahan malam-malam terakhir Ramadan.
Saya berharap agar kita semua diberi kelapangan dan kemudahan untuk terlibat sama,” katanya ditemui.

Jemaah menadah tangan memohon keberkatan Allah sempena program Qiamullail Perdana bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau turut menjangkakan pertambahan jemaah dalam program sama yang akan diadakan pada malam 25 Ramadan di masjid terbabit.

“Insya-Allah hujung minggu ini saya percaya akan dikunjungi oleh ramai umat Islam termasuk dari luar Shah Alam,” katanya.

Usai qiamullail, Amirudin menikmati hidangan sahur sebelum menunaikan solat Subuh dan mendengar tazkirah ringkas.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Hasnul Baharuddin.

Jemaah menunaikan solat sunat Tahajud sempena program Qiamullail Perdana bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :