Sukarelawan membawa lebihan makanan dari bazar Ramadan yang siap dibungkus menerusi program MBSA MYSave Food sehingga 31 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Elak pembaziran, dua tan lebihan juadah bazar Ramadan diagih percuma

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 13 APRIL: Meski Islam menegah umatnya membazir, banyak juadah tidak terjual di bazar Ramadan terbuang begitu sahaja saban tahun.

Ramadan yang menitik berat soal ibadat termasuk nikmat gandaan pahala berubah menjadi bulan pembaziran dek kealpaan sebahagian umat.

Justeru, sekurang-kurangnya dua organisasi iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Team Selangor mengambil inisiatif supaya lebihan juadah tidak tersisa atau berakhir di longgokan sampah.

Melalui program Jimat Makanan (My Save Food), MBSA membuka tiga pusat pengumpulan makanan di bazar Ramadan di Seksyen 7, 17 dan 20 untuk diedar percuma kepada orang ramai.

Program sejak 2021 turut dibantu sukarelawan daripada Bridged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan badan bukan kerajaan (NGO) Pemuda Gema Malaysia.

Mereka merekod, menimbang, membungkus semula sebelum juadah diedar kepada penghuni kawasan perumahan dan lokasi lain yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Sukarelawan menyusun lebihan makanan dari bazar Ramadan untuk diagihkan kepada orang ramai menerusi program MBSA MYSave Food sehingga 31 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

“Program ini bertujuan mengelak pembaziran lebihan makanan dan minuman serta mengurangkan sisa domestik untuk dilupus di tapak pelupusan, sebaliknya diagih kepada penduduk,” kata Pegawai Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad.

Setakat 5 April, sebanyak 2.2 tan dikumpulkan meliputi 1.1 tan makanan dan minuman (1.1 tan) sebelum diedar ke 16 lokasi antaranya rumah pangsa, projek perumahan rakyat serta masjid dan surau.

Pada 2021, MBSA mengumpul 855.4 kilogram (kg) lebihan makanan. Jumlah tersebut meningkat kepada 2,294.4 kg tahun berikutnya.

Sampah termasuk sisa juadah

Menurut KDEB Waste Management (KDEBWM), syarikat yang mengurus sisa pepejal di Selangor, kutipan dari 10,524 bazar melibatkan tujuh PBT naik 45 peratus dalam masa seminggu berpuasa.

Setakat 30 Mac, KDEBWM merekod kutipan sisa buangan 73.67 tan sehari berbanding 50.78 tan dalam tempoh sama pada 2022 berikutan pertambahan petak niaga di bazar.

Majlis Perbandaran Klang paling banyak sisa buangan iaitu 17.93 tan diikuti Majlis Bandaraya Subang Jaya (10.99 tan) Majlis Perbandaran Kajang (16.1 tan), Majlis Perbandaran Selayang (13.48 tan), Majlis Bandaraya Shah Alam (8.89 tan) dan Majlis Perbandaran Sepang (5.18 tan).

Selain MBSA, sukarelawan Team Selangor yang digerakkan Seketariat Kesedaran Kenegaraan dan Kesukarelaan Negeri Selangor juga membuat inisiatif sama antara 31 Mac hingga 10 April.

Pek lebihan makanan dilabel terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada orang ramai menerusi program MBSA MYSave Food sehingga 31 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Mereka mengumpul juadah dari bazar di Bandar Baru Ampang, Jalan Kebun (Klang), Lembah Subang (Petaling Jaya), Kampung Sungai Gulang-Gulang (Kuala Selangor), Restoran Seksyen 4 dan 10 di Shah Alam.

Pengurus Kanan Sadina Suffian menjelaskan mereka akan “lihat, bau dan rasa” lebihan makanan daripada peniaga bazar bagi memastikan mutu makanan terjamin.

“Makanan yang diasing, dibungkus semula sebelum diedar kepada penerima. Pelekat ditampal pada bungkusan sebagai peringatan untuk ambil makanan pada hari sama atau kadar segera,” katanya.

Agihan dibuat kepada jemaah masjid, mahasiswa, madrasah, rumah anak yatim serta asnaf atau individu kurang berkemampuan di lokasi penduduk berkepadatan tinggi dan pinggir bandar.

Tahun lalu, Team Selangor mengumpul 437.7 kg lebihan juadah merangkumi 134.3kg makanan dan 303.4kg minuman daripada 30 hingga 40 peniaga di bazar Seksyen 3 Bandar Baru Bangi.

 

 


Pengarang :