Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerahkan tong kutipan dan hebahan kempen kutipan minyak masak terpakai di Masjid Al-Jannah Kampung Haji Razali, Tanjung Karang, Kuala Selangor baru-baru ini. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

MPKS kumpul 387 kg minyak masak terpakai tempoh 19 hari Ramadan

SHAH ALAM, 13 APRIL : Sebanyak 387 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sejak awal Ramadan hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS berkata sebahagian besar minyak masak tersebut dikumpulkan melalui kempen kutipan di bazar Ramadan dan restoran-restoran.

“Kita turut menyediakan tong pengumpulan minyak masak terpakai di balai penghulu setiap mukim dan masjid terpilih.

“MPKS telah mengutip 387 kilogram minyak masak terpakai dalam tempoh 19 hari Ramadan. Kita harap sasaran untuk mengumpul sebanyak 10,000 kilogram minyak masak terpakai tahun ini akan tercapai,” kata Jefree Ab Manaf kepada Selangorkini.

Menurut beliau, usaha ini bagi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri untuk memastikan sisa bahan tersebut tidak mencemar alam sekitar selain boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel serta bahan pencucian dan hiasan.

Tambahnya orang ramai disarankan untuk bersama-sama menyokong kempen ini dan bayaran sebanyak RM1.50 ditawarkan untuk setiap satu kilogram minyak masak terpakai yang diserahkan kepada MPKS.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS di talian 03-3281 1368.

 


Pengarang :