Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Suri rumah rugi RM526,400, impian miliki jam tangan mewah musnah

SIBU, 13 APRIL: Terpedaya dengan iklan jam tangan mewah jenama Rolex yang dijual pada harga murah di media sosial, suri rumah berputih mata apabila kerugian RM526,400.

Wang terbabit dikatakan dibayar mangsa yang berusia lingkungan 60-an melalui beberapa transaksi untuk pembelian empat jam tangan jenama mewah itu, namun sehingga kini tiada satu pun barangan terbabit diterimanya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata mangsa mengenali suspek menerusi aplikasi WeChat sejak awal bulan Februari lalu, sebelum berurusan dengannya kerana tertarik dengan jam Rolex yang ditawarkan pada harga murah, lapor Berita Harian.

“Mangsa membuat pembayaran melalui sembilan transaksi ke satu akaun bank tempatan antara 15 hingga 27 Februari lalu dengan jumlah keseluruhan RM526,400.

“Namun sehingga kini mangsa belum menerima jam tangan dibelinya dan suspek pula gagal dihubungi,” katanya mengesahkan mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zulkipli menasihatkan orang ramai membuat semakan sebelum meneruskan pembelian dalam talian terutamanya apabila harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga asal.

“Orang ramai boleh merujuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau melayari laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP@JSJKPDRM bagi mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat lanjut berhubung sesuatu perkara yang mencurigakan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui,” katanya.


Pengarang :