Jentera jengkaut MBSJ memecahkan slab longkang dengan hacker pada Operasi Bersepadu MBSJ di lorong belakang Jalan Kenari 17C, Bandar Puchong Jaya, Puchong pada 13 April 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ runtuhkan penutup longkang, stor barang tujuh premis di Puchong

Oleh SHAMZ JOHAN

SUBANG JAYA, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meruntuhkan penutup longkang haram serta stor barang pada tujuh premis di lorong belakang Jalan Kenari 17C, Bandar Puchong Jaya, Puchong hari ini.

Dalam operasi tersebut, tujuh daripada lapan premis telah menutup longkang atau slab dengan simen dan konkrit serta membina stor menyimpan barang di atas longkang berkenaan.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata pihak kontraktor tidak dapat menyelenggara longkang dan menyebabkan saluran tersumbat.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali (kiri) bersama anggota penguatkuasa melihat keadaan longkang yang tersumbat pada Operasi Bersepadu MBSJ di lorong belakang Jalan Kenari 17C, Bandar Puchong Jaya, Puchong pada 13 April 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Kita tidak dapat menyelenggara longkang kerana peniaga bertindak menutup keseluruhan penutup longkang dengan konkrit dan simen. Oleh itu, perkara ini menyebabkan masalah bau busuk dan tikus selain longkang tersumbat.

“Selain itu, mereka turut membina stor barang dan tangga besi menyebabkan kacau ganggu dan halangan, jadi kita mengambil tindakan peruntuhan tanpa notis serta menyita barangan di stor berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit.

Terdahulu, Operasi Bersepadu melibatkan empat jabatan dalaman MBSJ iaitu Jabatan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan serta Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik dengan kekuatan 27 anggota dan kakitangan MBSJ telah dijalankan.

Dalam operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan tanpa notis mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) dibuat selepas pemilik premis gagal mematuhi arahan notis terdahulu yang dikeluarkan MBSJ.

Jelasnya Mohd Zulkurnain, kesemua pemilik premis akan dipanggil dan harus membiayai kos pembaikan saluran longkang tersebut yang akan dijalankan oleh MBSJ.

“MBSJ amat tegas dan tiada toleransi dalam isu kebersihan kerana melibatkan kacau ganggu kepada orang ramai, walaupun pernah diberi amaran tetapi peniaga tetap ingkar,” katanya lagi.

Mohd Zulkurnain menambah tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik atau penyewa masih berdegil dan tidak mematuhi syarat pelesenan.


Pengarang :