Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Ambrin Buang (kiri) menyampaikan cek cura elaun guru kafa kepada Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor Anas Ayob (tengah) berjumlah RM28,908,600 sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kanan) sempena majlis iftar bersama Muzakki dan penyerahan zakat Ramadan di Dewan Orkid, Wisma PKPS Shah Alam pada 13 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor serah bantuan zakat RM29.2 juta kepada asnaf, institusi

SHAH ALAM, 14 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan zakat kepada empat individu dan institusi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM29.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata daripada jumlah itu sejumlah RM28.9 juta diberi kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).

Menurutnya, sebanyak RM82,730 bantuan pendidikan kepada dua pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian di Management and Science University (MSU) iaitu Syed Zulfazri Syed Zuhairi dan Kolej SEGI (Nur Azmina Mohd Isno).

“Manakala, Norhasanah Ramlee dan Tuan Herman Mat Wahi yang juga asnaf fakir dan miskin masing-masing menerima bantuan pembinaan rumah baharu bernilai RM113,000 sebuah.

“Agihan zakat ini tidak dapat direalisasikan tanpa adanya pengeluar zakat dan semua ini adalah 2.5 peratus zakat yang diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2023 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr Abdul Rahman Abdullah.


Pengarang :