Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan rasmi Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru, solat tarawih bersama rakyat

SABAK BERNAM, 14 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Perasmian Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru itu merupakan masjid yang ketujuh dirasmikan Sultan Selangor sepanjang Ramadan.

Dalam titahnya, Baginda mengingatkan umat Islam meningkatkan amal ibadat serta melakukan perkara-perkara yang baik terutama di sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan.

“Lakukanlah amalan-amalan dengan hati yang tulus ikhlas dan sebaik-baiknya agar kita mendapat ganjaran yang terbaik daripada Allah SWT.

“Semoga  kita dapat dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar yang menjanjikan pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang beramal pada malam yang berkenaan,” titah tuanku.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menunaikan solat selepas merasmikan Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023.Foto ihsan Pejabat Istana Selangor

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 478 asnaf membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan diberikan RM239,000 dan berbuka puasa bersama rakyat Sabak Bernam.

Sultan dan Raja Muda turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama asnaf dan rakyat di masjid berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail.

Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru berkeluasan 2.5 ekar mampu menampung kapasiti jemaah seramai 600 jemaah dalam satu-satu masa berusia 93 tahun itu mula dibina pada 1929.

Memperuntuk kos binaan RM375,000, masjid ini telah melalui lima fasa pembinaan bermula dengan ruang solat utama, kolah, menara, serambi, ruang pengajian muslimat, pembesaran ruang solat utama dan sehingga kepada pembinaan parkir.

. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebelum merasmikan Masjid Al Ma’arufiah Parit Baru Sungai Air Tawar Sabak Bernam pada 14 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :