Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain (tiga kanan) melakukan gimik pelepasan konvoi Pasukan Petugas Op Selamat 18/2022 pada majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri ketika di Menara Telekom Malaysia (TM) pada 26 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Polis laksana Op Lancar, Op Selamat pastikan trafik terkawal, kurangi kes kemalangan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar tersebut adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

Beliau berkata seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melancarkan aliran trafik .

“Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani berkata selain Op Lancar, PDRM juga akan melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Menurutnya fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

“Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.

“Selain itu, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan,” katanya.

Beliau meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menurutnya keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang, juga amat dipuji serta dihargai.

“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya. – BERNAMA

 


Pengarang :