Orang ramai mengambil peluang membeli pada Jualan mega Aidilfitri di perkarangan PPR Seksyen 24 Shah Alam pada 15 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ayam, daging habis kurang sejam pada Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Shah Alam

SHAH ALAM, 15 APRIL: Barangan asas pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Seksyen 24 di sini habis terjual dalam tempoh kurang satu jam susulan sambutan amat menggalakkan.

Pengurus besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) berkata ayam, telur dan daging mendapat permintaan tinggi daripada penduduk untuk persediaan Aidilfitri minggu depan.

Pengurus Besar Kohijrah Mohammad Syukri Ismail. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ayam paling laku. Kurang sejam lebih 200 ekor habis dijual. Begitu juga dengan telur dan daging. Rata-rata pembeli mahu memasak barangan ini sempena raya nanti.

“Kohijrah turut menjual gula paket dengan harga subsidi RM2.50. Inisiatif ini memudahkan penduduk mendapat barangan keperluan dapur,” kata Mohammad Syukri Ismail ketika ditemui di jualan murah terbabit.

Beliau berkata program yang berlangsung di perkarangan pangsapuri projek perumahan rakyat itu mula dibanjiri penduduk sejak jam 7 pagi.

Mohd Syukri berkata penduduk tetap sabar menunggu bawah khemah disediakan meskipun jualan murah barangan asas itu hanya dibuka pada 9.45 pagi.

“Sepatutnya kaunter dibuka pada jam 10 pagi kerana kita perlu menyusun segala bekalan tetapi disebabkan sambutan hangat kita awalkan sedikit. Tidak mahu mereka tunggu lama.

“Kita sediakan bekalan untuk 200 pengunjung namun jumlah kehadiran melebihi had. Mereka tetap tunggu hingga program selesai untuk dapatkan bekalan yang tidak habis dijual,” katanya.

Petugas Kohijrah menyiapkan barangan basah sebelum memulakan Jualan mega Aidilfitri di perkarangan PPR Seksyen 24 Shah Alam pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tambah Mohd Syukri sehingga Rabu depan, program sama akan berlangsung di lapan lagi lokasi antaranya di Setia Alam, Banting dan Wisma Kohijrah di Seksyen 32 dekat sini.

“Di wisma nanti kita ada tambahan produk ikan serta 3,400 paket minyak masak berharga RM2.50,” katanya.

Hari ini program sama turut berjalan di pekarangan Masjid As-Syakirin, Jenderam Hilir; Pasar Tani Kelana Jaya, Pasar Tani Saujana Utama dan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Bernam dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar; Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat (Kuala Langat) dan Tapak Jalan Kantan (Patron) Bukit Sentosa bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sementara Laman Niaga Usahawan KoHijrah Shah Alam (4 hingga 6 petang).

Program jualan murah ini menyediakan bekalan ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :