Orang ramai mengambil peluang membeli pada Jualan Mega Aidilfitri di pekarangan PPR Seksyen 24 Shah Alam pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan mega raya sekali lagi di Shah Alam minggu depan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Satu lagi program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 bakal diadakan minggu depan di Zon 8 di sini bagi membantu penduduk mendapat barangan asas murah.

Ahli Majlisnya Aishah Mohd Zain berkata pihaknya memohon Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menganjur program sama memandangkan majoriti penduduk di situ merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

Ahli Majlis Zon 8 Aishah Mohd Zain

“Ketika ini semua berdepan dengan kos sara hidup tinggi. Ramai penduduk datang jumpa saya minta jualan ini diadakan menjelang Aidilfitri nanti kerana dapat ringankan kos belanja.

“Jadi kita harap usaha ini berhasil. Kita akan tumpu kawasan penduduk B40 terutamanya perumahan pangsapuri. Di sini ada lebih 2,000 unit pangsapuri,” katanya pada program tersebut hari ini.

Aishah berkata sejak Januari hingga awal puasa, hampir 10 program Jualan Ehsan Rakyat (JER) diadakan bagi membantu penduduk mengurangkan kos belanja dapur.

“Kita harap program ini diteruskan pada masa akan datang kerana memberi manfaat kepada penduduk. Inisiatif ini sangat membantu ketika berdepan isu kenaikan harga barang,” katanya.

Program itu menyediakan bekalan ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :