AGENSISELANGOR

MPS anjur program menarik Aidilfitri ini, PM turut hadir

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 17 APRIL: Program Kembara Media dan Program Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Gombak antara program menarik yang akan diadakan sempena Aidilfitri ini.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata Program Kembara Media akan diadakan di Gua Damai Extreme, Batu Caves pada 9 Mei ini manakala Program Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak.

Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata 30 rakan media daripada 19 agensi terlibat dalam Program Kembara Media anjuran bersama MPS dan Jabatan Penerangan Malaysia.

“Tujuan program ini adalah untuk membantu mempromosikan lokasi menarik di kawasan pentadbiran MPS,” katanya ditemui pada Mesyuarat Majlis MPS kali ke-4 di Menara MPS hari ini.

Selain itu, Mohd Yazid berkata Program Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Gombak akan diadakan pada 14 Mei 2023.

“Program ini akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita jangka lebih 30,000 orang hadir,” katanya.

Menurutnya, program itu adalah kesinambungan Program Jelajah #KitaSelangor Penyayang yang diadakan sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan mengadakan Sambutan Aidilfitri Peringkat MPS pada 19 Mei di perkarangan Menara MPS.


Pengarang :