Tan Sri Michelle Yeoh berucap ketika menerima trofi pelakon wanita terbaik Anugerah Akademi Ke-95 (Oscar 2023) pada majlis di Dolby Theatre Los Angeles pada 13 Mac 2023. Foto Agensi
AGENDANASIONAL

Kelas induk bimbingan Michelle Yeoh bantu pelakon tempatan asah bakat

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pelakon Hollywood kelahiran Ipoh Tan Sri Michelle Yeoh akan mengendalikan kelas induk bermula Julai depan bagi berkongsi ilmu bersama pelakon tempatan.

Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kredibiliti pemenang Anugerah Akademi ke-95 itu perlu dimanfaatkan untuk memajukan tenaga kreatif tempatan, lapor Berita Harian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Dr Md Nasir Ibrahim memaklumkan Yeoh sangat berbesar hati untuk membantu perbadanan itu demi kepentingan industri filem negara.

“Kita akan pelawa pelakon tempatan dan mereka yang terbabit dalam disiplin lakonan untuk menghadiri kuliah induk itu serta belajar daripada Yeoh.

“Usaha ini dapat membantu pelakon kita meningkatkan tahap keyakinan diri dan menguasai kemahiran baharu,” katanya ditemui dalam satu majlis di ibu negara, kelmarin.

Yeoh, 61, dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Akademi pada Mac lalu menerusi filem Everything Everywhere All at Once, sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu.

Beliau turut memenangi kategori sama dalam beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) ke-29.


Pengarang :