Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jay Jay, Iman Troye hiburkan tetamu rumah terbuka di Hulu Selangor Sabtu ini

SHAH ALAM, 26 APRIL: Orang ramai dipelawa memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di padang Taman Awam, Hulu Bernam, Hulu Selangor pada Sabtu ini.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata program yang berlangsung dari 8 hingga 11 malam turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Jay Jay dan Iman Troye.

“Semua warga Hulu Selangor dijemput untuk sama-sama memeriahkan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri. Pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan artis jemputan Jay Jay dan Iman Troye.

“Jom sama-sama kita memeriahkan program pada Sabtu nanti. Jumpa ada semua di sana!,” tulis pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

Pelbagai hidangan menarik turut disaji kepada pengunjung sepanjang tiga jam acara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga dijadual menyampaikan ucapan dan beramah mesra dengan pengunjung.

Berlangsung di sembilan daerah, Jelajah Kita Selangor Aidilfitri  membuka tirai Jumaat ini di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang, diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April) dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April).

Program turut diadakan di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Rumah terbuka negeri diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang boleh dipohon segera.


Pengarang :