Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membantu murid memakai pelitup muka guna semula ketika meninjau pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia, Gombak pada 1 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak Covid-19 merebak, Selangor sedia beri pelajar sekolah pelitup muka percuma

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Selangor meneliti keperluan menyediakan bantuan sokongan kepada sekolah negeri ini bagi mengekang penularan semula Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata cadangan memberi pelitup muka percuma khususnya kepada pelajar berpendapatan rendah (B40) akan diselaras melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Kita sambut baik dan mengalu-alukan langkah berjaga-jaga yang dibuat kerajaan (syor pemakaian pelitup muka di semua sekolah) kerana kebetulan dengan perebakan varian baharu Covid-19.

“Saya akan hubungi Jabatan Pendidikan kalau ada perlukan bantuan sokongan. Mungkin (bantuan) pelitup muka untuk anak yang ibu bapanya kurang pendapatan, kita tengah selaras,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Ketika negara dilanda Covid-19, Kerajaan Selangor mengagihkan 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula secara percuma kepada 995,000 pelajar di negeri ini bagi meringankan beban keluarga mereka.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan orang ramai terutama golongan komorbid supaya segera mendapatkan dos penggalak di klinik dan hospital berhampiran bagi mengurangkan kesan jangkitan.

“Dos penggalak terbukti mampu menampan sedikit kesan Covid-19. Kita dapati dalam tempoh enam hingga 12 bulan kebelakangan ini, majoriti kes tahap tiga ke bawah.

“Kes ini tidak perlu dibawa ke hospital, hanya perlukan pengasingan. Jadi ini bukti yang tepat (dos penggalak) mampu mengurangkan kesan daripada jangkitan Covid-19,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyor pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan semula kes Covid-19 selain penularan varian baharu Arcturus.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mencegah penularan semula wabak di sekolah selepas cuti Aidilfitri.

 


Pengarang :