Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi reruai makanan di Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah terbuka Aidilfitri peluang rakyat temui pemimpin negeri

SEPANG, 29 APRIL: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu mendapat sambutan daripada rakyat malah pengunjung datang awal untuk menyertainya.

“Sepang daerah pertama dan kita anggarkan kehadiran tetamu hampir 10,000 orang. Jelajah bersambung esok (hari ini) di Hulu Selangor dan Klang (esok).

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jelajah yang dianjurkan setiap minggu ini memberi peluang masyarakat setempat dan penduduk bertemu dengan pemimpin negeri serta ketua jabatan dalam meraikan Aidilfitri.

“Kerajaan Negeri tidak ketinggalan menganjurkan majlis Aidilfitri di setiap daerah yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya ditemui selepas Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di tapak pasar pagi Pekan Salak, di sini malam tadi.

Amirudin berkata, pihaknya memperuntukkan RM200,000 bagi setiap jelajah itu membabitkan sembilan daerah.

“Kita peruntuk bagi jelajah di setiap daerah RM200,000 manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah pula akan mengumpulkan dana masing-masing bagi memeriahkan program.

“Ini beri peluang setiap jabatan menganjurkan sambutan Aidilfitri bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Masdiana Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Dato’ Abd Hamid Hussain.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri berlangsung di sembilan daerah bermula di Sepang malam tadi diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor hari ini dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (esok).

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi reruai makanan ketika Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat mengetahui pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh dipohon segera.


Pengarang :