SHAH ALAM, 29 APRIL: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) esok.
Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasil rundingan itu akan dibawa kepada kepimpinan pusat dua gabungan berkenaan untuk proses seterusnya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/1-10-500x333.jpg)
“Proses rundingan berjalan dengan baik, insya-Allah esok saya akan muktamadkan sebelum ia diangkat di peringkat pusat sebab kita tidak punya masa. Saya harap ia dimuktamad segera di peringkat pusat.
“Akhirnya keputusan itu wajar diputuskan di peringkat pusat, negeri hanya boleh berbincang membuat kata sepakat (agihan kerusi) kepada benda yang tidak bertentangan.
“Ada pertindihan-pertindihan (kerusi yang HARAPAN dan BN mahukan)… tetapi saya rasa pertindihan itu 20 peratus sahaja untuk diselesaikan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/15-3-500x339.jpg)
Bercakap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik, Dato’ Menteri Besar menjelaskan perbincangan agihan kerusi dibuat secara telus dan terbuka.
“Perbincangan (agihan) kerusi ini tidak akan selesai sehingga hari penamaan calon, tetapi kita memang adakan perbincangan secara terbuka, telus dan jujur dalam pelbagai aspek,” katanya.
Sebelum ini, HARAPAN dan BN Selangor dilapor akan memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi selewat-lewatnya awal bulan depan.