Orang ramai menghadiri program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Klang di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Padang dibasahi hujan tidak halang pelbagai bangsa meriahkan jelajah Aidilfitri di Klang

KLANG, 1 MEI: Padang basah disebabkan hujan dan berlecak tidak menghalang pengunjung pelbagai bangsa hadir ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang diadakan di Taman Sri Kerayong, Klang malam tadi.

Pengunjung Nur Ikhmal, 41, berkata hampir setiap tahun dia tidak pernah melepaskan peluang berkunjung ke rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri itu kerana mahu merasai kemeriahan Aidilfitri.

Nur Ikhmal hadir bersama isteri ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong, Klang pada 30 April 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Setiap tahun saya dan isteri suka pergi rumah terbuka negeri ini, selain merasai kemeriahan suasana hari raya kita juga dapat menikmati pelbagai jenis juadah di satu tempat.

“Penganjuran program pada waktu malam juga sangat dipuji lebih-lebih lagi dengan cuaca sekarang panas pada waktu siang, apabila buat rumah terbuka waktu malam ia lebih sejuk,” katanya ditemui pada program itu.

Sementara itu, Annie Lurdesamy, 40, berkata dia berkunjung ke rumah terbuka itu bersama keluarga kerana mahu merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri.

“Selain mahu merasai suasana hari raya, saya datang bersama keluarga dan saudara mara kerana bagi kami ini sahaja peluang bertemu ketua negeri dan pemimpin secara bersemuka.

Annie Lurdesamy membawa keluarga ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong, Klang pada 30 April 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Tambah pula kita hidup di Malaysia dengan pelbagai bangsa, saya rasa ini peluang terbaik untuk kita merasai suasana kemeriahan hari raya masing-masing,” katanya.

Selain itu, Norleesa Kamsah, 32, berkata dia hadir ke rumah terbuka itu bersama suami dan seorang anaknya kerana mahu menghabiskan masa cuti hujung minggu selain rumahnya berdekatan kawasan terbabit.

“Hari ini memang kami tidak pergi ke mana-mana dan kebetulan ada rumah terbuka negeri jadi kami ambil kesempatan berkunjung ke sini selain melihat persembahan artis,” katanya.

Norleesa Kamsah hadir bersama anak dan suami di Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong, Klang pada 30 April 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Tengku Norashikin berkenan berangkat memeriahkan program berkenaan.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Rumah terbuka daerah Klang itu menerima kunjungan lebih 10,000 tetamu dan turut dimeriahkan dengan rewang sekampung iaitu penyediaan juadah dimasak secara gotong-royong bersama penduduk setempat.

Program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri dilaksanakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April lalu di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang.

Persembahan Siti Nordiana dan Haziq Rosdi di program Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri Daerah Klang di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Program yang menjelajah setiap daerah negeri ini dianjurkan di padang taman awam, Hulu Bernam, Hulu Selangor kelmarin.

Ia diteruskan pada 5 Mei di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat, tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong, Klang pada 30 April 2023 turut disertai penduduk pelbagai bangsa. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :