Oleh DIANA ABD WAHAB
KLANG, 6 MEI: Seramai 175,999 individu mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sejak ia dilancarkan pada 1 Disember 2022 hingga 2 Mei lalu.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata daripada jumlah itu, seramai 6,692 peserta adalah suri rumah dari Selangor.
“Kita menyasarkan 500,000 suri rumah dilindungi tahun ini dan kita sokong usaha Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) promosikan SKSSR di setiap karnival kerjaya.
“Ia beri peluang kepada orang ramai untuk lebih memahami skim ini. Saya galakkan orang ramai mencarum kerana hanya RM120 perlu bayar untuk perlindungan setahun.
“Jumlah itu sangat minimum. Kita sangat berharap lebih ramai orang akan mencarum yang akan memberikan pelbagai manfaat kepada suri rumah pada masa akan depan,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Karnival Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Negeri Selangor di Dewan Hamzah, di sini hari ini.
Turut hadir, EXCO Pemberdayaan Kerja V Ganabatirau, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sementara itu suri rumah yang ditemui pada karnival terbabit menyambut baik SKSSR bagi membela nasib mereka.
Amutha Chandran, 48, yang mula mencarum sejak Disember tahun lalu berkata inisiatif yang diperkenalkan Perkeso itu penting sebagai persediaan masa depan.
“Bila ada perlindungan begini saya rasa keselamatan lebih terjamin kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Skim perlindungan ini baik kerana bela nasib suri rumah yang tiada pendapatan dan tidak perlu hanya bergantung kepada suami,” katanya.
SKSSR yang dikuatkuasakan pada 1 Disember 2022 di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 merupakan usaha kerajaan dalam memastikan perlindungan keselamatan sosial meliputi seluruh lapisan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana golongan.