Oleh AZIAN AZIZ
AMPANG JAYA, 7 MEI : Cadangan untuk melanjutkan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sehingga Julai atau Ogos dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu depan.
Exco pemodenan pertanian berkata pihaknya juga akan melihat cadangan lain yang boleh dipertimbangkan untuk menggantikan jualan barangan keperluan itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-Rumah-Terbuka-Pandan-Indah-10-500x333.jpg.webp)
“Kalau ada kewajaran kita akan sambung JER sehingga Julai atau Ogos sebab walaupun JER ni program sementara tapi kita tidak tinggalkan terus.
“Kita mungkin buat dalam bentuk berbeza…mungkin selepas Julai atau Ogos ini kerana kita dah ada cadangan tapi masih lagi bagi penjimatan kepada rakyat,” kata Ir Izham Hashim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam malam tadi.
Pada 17 April lalu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata JER mungkin disambung kerana beliau percaya Kerajaan Negeri tidak akan menghentikan program itu begitu sahaja.
Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi beliau percaya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan meminta supaya JER dilanjut sekurang-kurangnya sehingga Julai atau Ogos ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/11/jualan-500x333.jpg)
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei.