Erra Fazira antara barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Drama khas terbitan Kerajaan Selangor sempena Aidilfitri ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Berkali-kali beraya di set penggambaran demi filem

Alah bisa tegal biasa buat Erra Fazira mengorbankan sambutan Aidilfitri demi menyiapkan projek filem atau drama dibintanginya.

Malah, sudah berkali-kali pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek beraya di set penggambaran sepanjang tiga dekad dalam industri seni.

Tiada ronta di hati bersama orang tersayang pada 1 Syawal sejak 30 tahun lalu kerana enggan menghampakan kru produksi dan rakan artis yang bekerja bersama.

Pelakon dan penyanyi Erra Fazira. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengukir nama menerusi Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam, Erra mencipta fenomena era 1990-an dan 2000-an dengan naskhah Sembilu II, Maria Mariana dan Pasrah.

Bintang filem Melayu berusia 49 tahun itu berkongsi, antara penggambaran dijalani sehingga terpaksa beraya di set ialah telefilem Kalut Nak Raya 2017.

Begitu juga rancangan televisyen Simfoni Aidilfitri 2018 dan Fiesta Aidilfitri 1993 yang dirakam ketika era awalnya sebagai artis.

Namun, anak kelahiran Sungai Choh, Rawang itu mengaku, kini beliau mahu masa lebih banyak bersama anak Engku Aleesya Engku Emran, terutama ketika lebaran berbanding sibuk dengan penggambaran.

“Tawaran berlakon watak besar seperti heroin itu ada, tetapi terpaksa menolak kerana perlu membahagikan masa bersama anak dan mengurus perniagaan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Cukup ada lemang

Berkongsi persiapan raya tahun ini, bekas ratu cantik Malaysia 1992 itu bersederhana menyambut Syawal bersama Engku Aleesya.

“Cukup ada lemang, ketupat dan rendang. Sudah boleh menciptakan suasana raya,” katanya yang memilih biskut kelapa sebagai kuih raya kegemaran.

Pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu berkata, kampung di Sungai Choh menjadi lokasi beliau sekeluarga berkumpul apabila lebaran.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu beliau lebih banyak beraya di Kuala Lumpur selepas ketiadaan nenek yang meninggal dunia pada 2014.

“Sebelum ini, Sungai Choh, Rawang akan menjadi lokasi wajib saya berkumpul sesama ahli keluarga. Sejak ketiadaan nenek, kenikmatan berkumpul di kampung semakin menghakis.

“Aktiviti lebih tertumpu di rumah ibu di Kuala Lumpur. Balik Rawang pun untuk ziarah kubur nenek,” katanya.

Siulan ramai

Ditanya perkara menggembirakan dirinya sepanjang dalam bidang seni, Erra berpandangan hadiah paling berharga apabila lakonannya mendapat sambutan dan lagunya menjadi siulan ramai.

“Apabila sudah menjadi artis, kita tidak boleh tumpu satu bidang kerja sahaja. Sebaliknya perlu berani mencuba dan pandai ambil peluang menceburi bidang lain.

“Penting sebagai anak seni perlu kuat dan tidak cepat melatah,” katanya.

Tangkap layar beberapa babak dalam teaser drama Selalu Ada di Facebook Media Selangor. Drama khas terbitan Kerajaan Selangor sempena Aidilfitri ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023

Erra bakal muncul dengan lagu baharu selepas Hari Raya Aidiladha pada Jun tahun ini.

“Insya-Allah selepas raya Aidilfitri kita mula masuk studio untuk rekod kemudian selepas raya haji kita akan terbitkan khas buat peminat Erra Fazira. Buat masa ini kita rahsiakan dahulu tajuk lagu ini, tunggu ya,” seloroh Erra.

Selain kerjaya seni, Erra mahu mengembangkan lagi perniagaannya. Ketika ini beliau sibuk menguruskan perniagaan tudung jenama sendiri dikenali Heyrra yang dilancar pada 2022.


Pengarang :