Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembagunan Hartanah) Ir Md Kamarzan Md Rais (tengah) merasmikan Galeri Jualan PKNS Kota Puteri sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS lancar projek taman industri Julai ini, tawar hartanah berkualiti

Oleh AZIAN AZIZ

RAWANG, 8 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melancarkan projek taman perindustrian dikenali Green Industrial Park (GRIP) di Seksyen 11 dan 12, Kota Puteri di sini pada Julai ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Ir Md Kamarzan Md Rais berkata projek berkeluasan 377 ekar itu menawarkan hartanah berkualiti iaitu 304 kilang Semi D serta 101 ekar tanah industri dan bangunan pusat kecemerlangan usahawan.

“Kita baru dapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk melaksanakan projek berkonsepkan Taman Industri Tersusun (MIP) ini.

“Projek ini juga dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam, kemudahan rumah kelab, taman rekreasi dan komuniti serta kuarters pekerja dengan kapasiti 3,000 orang,” katanya ditemui selepas melawat rumah contoh Puteri Ariana di Kota Puteri di sini semalam.

Menurut Md Kamarzan projek itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dan fasa pertama dijangka siap 2027.

Orang ramai melihat replika rumah contoh ketika Majlis Perasmian Projek Puteri Ariana sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata GRIP dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk 3,000 hingga 4,000 orang.

Ditanya mengenai sasaran jualan GRIP beliau berkata pihaknya belum menetapkan sebarang sasaran namun yakin projek itu akan mendapat sambutan.

“Sekarang pun dah ada pemilik kilang di kawasan ini yang bertanya mengenai konsep MIP ini dan ada yang ingin membeli tetapi belum buka lagi,” katanya.

Konsep MIP ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri, PKNS dan Invest Selangor Bhd untuk menyediakan ekosistem taman industri yang berkualiti tinggi.

PKNS selaku pengurus taman perindustrian (park manager) akan menguruskan ekosistem dan komuniti di GRIP Kota Puteri secara digital dan pintar melalui anak syarikatnya, PKNS FM Integrated.

Pembeli juga akan menikmati pelbagai insentif dalam bentuk cukai hartanah dan kelulusan pembangunan dari Kerajaan Negeri seperti yang diumumkan ketika pelancaran MIP pada 15 Mac 2023.

Kepada pihak yang berminat, PKNS mengalu-alukan pendaftaran awal dengan menghubungi bahagian pemasaran dan jualan.


Pengarang :