Forum sempena Hari Perundangan Syariah menampilkan Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Muhamad Zakian Dio (kanan) dan Pengarah Kanan Jabatan Bantuan Guaman Selangor Aiman Roslan (kiri) sebagai panel manakala moderator oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Atras Mohamad Zin. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jabatan syariah: Kesalahan khalwat, nikah tanpa ikut perundangan catat kes tertinggi

SHAH ALAM, 9 MEI: Kesalahan khalwat merupakan kes tertinggi yang direkodkan di mahkamah syariah di seluruh negara pada tahun lalu.

Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata ia diikuti dengan kesalahan berkahwin tanpa mengikut perundangan dan perceraian di luar mahkamah.

Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Muhamad Zakian Dio. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Saya tidak mempunyai data tepat mengenai jumlah kes yang direkodkan, namun saya memeriksa hal ini dalam sistem sedia ada.

“Setakat ini, kesalahan khalwat adalah nombor satu, yang kedua berkahwin tanpa mengikut perundangan, bercerai di luar mahkamah, serta yang keempat poligami,” kata Muhamad Zakian Dio.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panel forum bertajuk ‘Bidang kuasa jenayah syariah, peranan institusi kehakiman syariah dan guaman syarie’ di Pusat Konvesyen Shah Alam di sini, hari ini.

Forum yang diadakan sempena Hari Perundangan Syariah itu turut menampilkan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Aiman Roslan sebagai panel dan moderator oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Atras Mohamad Zin.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zakian berkata proses poligami di negara ini adalah mudah dan ringkas walaupun ramai suami beranggapan sebaliknya.

Jelasnya, kebanyakan suami yang bernikah dengan pasangan lain di luar negara tidak memenuhi syarat yang ditetapkan perundangan syariah untuk berpoligami.

“Dari segi zahir, sebenarnya mudah sahaja nak poligami. Suami hanya perlu ke mahkamah tinggi dan daftar permohonan poligami. Yang menjadi susah kerana perlu minta izin isteri pertama,” katanya.

Kira-kira 250 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi awam (IPTA), pentadbir masjid serta kakitangan perundangan dari pelbagai agensi menghadiri forum anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor itu.


Pengarang :