EXCO Infrastrukturdan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menunjukkan jentera pembersihan sungai Interceptor 005 yang ditaja kumpulan muzik antarabangsa Coldplay dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Ocean Cleanup. Foto Facebook Izham Hashim pada 11 Mei 2023
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Jentera pembersihan Interceptor 005 perkukuh usaha pulih Sungai Klang

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 11 MEI: Usaha membersih dan memulihkan Sungai Klang kini dipergiat menerusi penggunaan jentera pembersihan sungai Interceptor 005, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata interceptor kedua itu beroperasi di negara ini selepas Interceptor 002 beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.

“Untuk makluman, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima Interceptor 005 di bawah inisiatif projek Gerbang Maritim Selangor.

“Dengan kehadiran Interceptor 002 dan 005, Sungai Klang yang berada di tahap kekotoran tertinggi iaitu lima, turun ke tahap ketiga,” katanya menerusi Facebook.

Ir Izham berkata jentera yang menggunakan teknologi dari Belanda itu ditaja kumpulan muzik antarabangsa.

“Saya menghargai usaha kugiran ternama dunia Coldplay bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Ocean Cleanup yang sudi menaja Interceptor 005, mesin memerangkap sampah di Sungai Klang.

“Saya juga menyeru seluruh masyarakat agar menjaga kebersihan sungai di seluruh Selangor demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

Anak syarikat Kerajaan Negeri, Landasan Lumayan Sdn Bdh (LLSB), diberi mandat menerajui projek Gerbang Maritim Selangor bagi membersih dan memulihkan Sungai Klang serta membangunkan kawasan sekitarnya.

Projek tersebut sebahagian inisiatif negeri mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengoptimum lokasi utama di Selangor bagi memacu ekonomi maritim dan pembangunan baharu.

LLSB selaku pelaksana inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) turut memenangi anugerah emas untuk kelestarian dalam kerajaan pada majlis anugerah alam sekitar berprestij, Green World Awards 2023.


Pengarang :