AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS teroka peluang kerjasama Perpustakaan Kongres AS majukan industri buku

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 12 MEI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) meneroka peluang kerjasama dengan Perpustakaan Kongres (LOC) Washington, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang penulisan pendidikan dan latihan bagi memajukan industri buku.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhammad berkata menerusi perbincangan strategik diadakan baru-baru ini, kedua-dua pihak juga bersetuju menjalin kerjasama dalam bidang lain yang berkaitan.

“Antara intipati perbincangan strategik dalam kerjasama ini ialah saling berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran. Pihak PPAS dan LOC juga bersetuju mempromosi koleksi dan aktiviti antara kedua-dua belah pihak.

“Pengalaman LOC amat mengagumkan dan kami amat berbesar hati dan bersyukur apabila pihak LOC bersetuju menerima kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Selangor bagi mengadakan perbincangan strategik. Semoga pengalaman hebat LOC ini dapat dicontohi PPAS,” katanya di Facebook.

Mastura berkata kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat khususnya di Selangor untuk menambah nilai maklumat apabila kepakaran dan pengalaman LOC dapat dikongsi pihak PPAS kelak.

Jelasnya ia selari dengan cadangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya PPAS menjalin kerjasama dengan Perpustakaan Negara AS itu bagi melebarluaskan lagi maklumat dan pengetahuan rakyat.

Kunjungan delegasi Kerajaan Negeri ke LOC pada 3 Mei lalu, diketuai Exco Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Lawatan turut disertai ketua agensi Kerajaan Negeri antaranya Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Delegasi Kerajaan Negeri disambut Ketua Divisyen Asia LOC Dr Dongfang Shao dan pustakawan kanan LOC.


Pengarang :