AGENDAJENAYAH

Pelajar tingkatan tiga ditumbuk, diterajang kerana tidak hormat senior

SHAH ALAM, 12 MEI: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Ampang ditumbuk dan diterajang sekumpulan pelajar tingkatan lima kerana dipercayai tidak menghormati senior.

Ketua polis daerah Ampang berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang, belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam, lapor Berita Harian.

“Pada 8 Mei jam 9.30 pagi semasa di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di bahagian belakang oleh seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang dikenali.

“Mangsa diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak jumpa di Anjung Selera. Kira-kira jam 3 petang mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar Kemensah lalu dipukul,” kata Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.

Beliau berkata semua suspek dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tular video di Instagram memaparkan mangsa yang hanya terbaring cuba melindungi diri daripada terus dipukul sekumpulan pelajar senior.

“Kau tak ‘respect!’,” kata salah seorang suspek sambil menumbuk kepala dan badan mangsa bertubi-tubi.


Pengarang :