EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han menyantuni peserta pada majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kem Muhibbah Kita Selangor pupuk perpaduan, bantu belia tambah rakan berlainan bangsa

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU LANGAT, 15 MEI: Penganjuran program Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 dilihat berjaya memupuk perpaduan dan mengubah persepsi negatif terhadap kaum lain.

Muhammad Uzair Danish Zainal, 16, yang dinobatkan sebagai peserta lelaki terbaik berkata beliau kini mempunyai rakan berbilang bangsa selepas menyertai program berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyampaikan siijil kepada peserta lelaki terbaik, Muhammad Uzair Danish Zainal pada majlis perasmian penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini sejak kecil saya tak pernah ada rakan berbangsa India. Bila sertai kem ini saya dapat kawan baru dan saya sedar sebenarnya bergaul dengan mereka seperti bergaul dengan bangsa sendiri. Hanya berbeza dari segi agama.

“Kita tidak boleh percaya sepenuhnya apa yang dipaparkan di media sosial. Kena bergaul dan berkawan baru kita tahu diri mereka yang sebenar tidak seperti yang digembar gemburkan sehingga timbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap bangsa mereka,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap merasmikan majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Muhammad Uzair berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 yang disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han di Universiti Islam Selangor di sini, semalam.

Berlangsung selama tiga hari mulaiJumaat, kem berkenaan disertai 70 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) antaranya Universiti Selangor (UniSel), Universiti Malaya (UM) dan Kolej Dar Al Hikmah Bangi.

Sementara itu, peserta wanita terbaik Changkari Muniandy, 22, bangga dapat menyertai program yang memupuk semangat perpaduan selain berpeluang mengenali lebih ramai rakan dari universiti berbeza.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyampaikan siijil kepada peserta wanita terbaik, Changkari Muniandy pada majlis perasmian penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya tersentuh kerana layanan ahli kumpulan seperti keluarga sendiri dan mereka tidak pilih kasih,” katanya yang turut mengakui kem itu berjaya memupuk perpaduan apabila peserta berbeza latar belakang bertukar-tukar pandangan dan ilmu bagi menjayakan tugasan diberikan fasilitator.

Changkari turut mengakui selesa berkawan dengan rakan Melayu sehinggakan boleh sewa kediaman bersama dan bertukar-tukar makanan.

“Kami saling menghormati biarpun berbeza agama, kami jaga batasan, mereka jaga solat dan aurat malah saya sering ingatkan rakan sebilik tunaikan solat bila masuk waktu dan kejutkan mereka bersahur walaupun saya tidak berpuasa kerana bangun awal setiap hari,” katanya

 


Pengarang :