Rakyat berbilang bangsa menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Pengunjung teruja rumah terbuka di Gombak berlangsung penuh muhibah

GOMBAK, 15 MEI: Suasana Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang dianjurkan bersama Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di sini malam tadi berlangsung dalam suasana muhibbah.

Pasangan warga emas, N. Ramu, 66, dan isterinya, P. Paneerkodi, 59, berkata mereka hadir ke majlis rumah terbuka itu kerana mahu merasai semangat perpaduan antara kaum.

Ramu berkata aneka makanan melambangkan identiti kaum turut dihidangkan kepada pengunjung sekali gus mewarnai kemeriahan majlis.

N Ramu, 66. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami suka datang ke majlis rumah terbuka seperti ini kerana suka suasana yang muhibbah. Tambahan pula ada banyak juadah istimewa.

“Saya harap Kerajaan Negeri akan terus mentadbir Selangor kerana sebagai warga emas, kami menerima banyak manfaat dan bantuan,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Mohamad Yusof Mansor, 30, dan Nur Yushaireen Yusman, 26, berkata majlis rumah terbuka di Gombak amat meriah.

Menurut Yusof, mereka turut menghadiri beberapa JKSA sebelum ini, namun tidak dapat menandingi kemeriahan program di Gombak.

Mohamad Yusof Mansor, 30, dan isteri, Nur Yushaireen Yusman, 26. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Di sini sangat besar dan lebih menarik terutamanya dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Makanan di sini juga sedap dan ada aneka pilihan,” katanya.

Mereka adalah antara lebih 35,000 pengunjung yang membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama JKSA siri terakhir di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak di sini.

Sebanyak 29 gerai disediakan dengan lebih 42 juadah antaranya lemang daun lerek, ketupat, rendang, sate, kambing golek, aneka jenis kuih muih, buah-buahan dan pelbagai jenis air balang.

Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Dato’ M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.

Orang ramai mengambil juadah pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN

 


Pengarang :