Kakitangan Hijrah Selangor membaca doa sempena majlis Khatam al-Quran dan Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Hijrah Selangor di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

481 usahawan terima manfaat skim bantuan perniagaan Hijrah bernilai RM4.7 juta

SHAH ALAM, 18 MEI: Seramai 481 usahawan menerima manfaat menerusi skim pembiayaan pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sepanjang Mac lalu.

Pengurus kanan operasinya berkata pembiayaan dengan nilai kira-kira RM4.7 juta itu diagihkan menerusi skim bantuan perniagaan i-Bisnes.

“Hijrah sentiasa mahu membantu usahawan mengembangkan perniagaan terutama ketika musim perayaan ini,” kata Shaharuddin Yacob kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Khatam al-Quran Yayasan Hijrah di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Seksyen 7 di sini semalam.

Antara tetamu yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Hijrah Selangor di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Shaharuddin berkata Hijrah menerima 15 permohonan bagi skim i-Bermusim dengan nilai pinjaman RM106,000 pada Ramadan lalu.

Menurutnya skim itu menawarkan pinjaman antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi membantu usahawan negeri ini yang berminat menyertai bazar raya.


Pengurus Kanan Operasi Hijrah Shaharuddin Yacob. Foto Sofia Nasir/SELANGORKINI

Skim i-Bermusim antara tiga skim pembiayaan diperkenal Kerajaan Selangor bagi membantu usahawan memulih semula perniagaan terjejas susulan pandemik Covid-19.

Skim berkonsepkan Islamik khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar Ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim.


Pengarang :