MPK dan JPS menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Melawis, Klang pada 17 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

MPK, JPS naik taraf sistem saliran, atasi banjir di Taman Melawis

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) giat menjalankan kerja menaik taraf sistem saliran termasuk memasang longkang konkrit berbentuk U yang lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di Taman Melawis di sini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, selain MPK, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor juga turut terlibat dalam kerja membina tebatan banjir termasuk menambah kapasiti pam di pintu air.

“Kerja naik taraf kini mencapai 70 peratus dan dijangka siap Ogos depan. Ia sebahagian daripada projek tebatan banjir untuk membolehkan aliran air lebih baik ketika hujan lebat antara dua hingga tiga jam.

MPK dan JPS menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Melawis, Klang pada 17 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang

“Kita dalam proses memasang longkang U konkrit yang melibatkan sebahagian daripada Jalan Besi. Selain itu, MPK juga membina kolam tadahan di Jalan Matahari bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya pembinaan benteng konkrit sepanjang 24.46 meter di sekitar Lintang Besi siap dilaksanakan bagi mengelak hakisan atau resapan air ke dalam rumah teres di kawasan berkenaan.


Pengarang :