Poster rasmi filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 Mei 2023. Foto laman web Anwar: The Untold Story
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Filem Anwar: The Untold Story dedah babak tersorok era Reformasi

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 18 MEI: Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lalu membakar gejolak bantahan politik di luar dugaan. Walau digelar “reformasi”, peristiwa September 1998 itu seolah-olah gerak revolusi yang menggegarkan negara.

Dengan sumpahnya “saya tidak akan menyerah kalah” dan slogan “lawan tetap lawan! Lawan sampai menang”, bekas timbalan perdana menteri itu terus mengubah landskap politik Malaysia yang masih terasa sehingga kini.

Namun tidak semua yang dirasai saat itu sudah diketahui umum. Masih ada babak politik yang tersembunyi. Filem biografi beliau Anwar: The Untold Story menyelak babak-babak awal yang tersorok.

Penyair dan pelakon terkenal Pyanhabib Rahman terkesan dengan detik-detik tragis itu, khususnya sewaktu Anwar dibelasah ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sejurus ditangkap pada 20 September 1998, beberapa jam selepas memimpin demonstrasi besar di tengah-tengah ibu kota.

Antara babak dalam filem Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Foto Instagram Bianglala Entertainment

“Ada beberapa adegan yang meruntun perasaan, antara yang sangat menyentuh saya ialah apabila tumpuan saya kepada layar, dibawa dalam gerak perlahan, sehelai seluar dan kemeja dibawa melintas sel tahanan,” katanya kepada Selangorkini selepas tayangan perdana pada 8 Mei.

Insiden tersebut menjadi pembakar semangat pendukung Gerakan Reformasi. Foto Anwar mengangkat tangan dengan mata lebam sedang berjalan ke mahkamah menjadi poster tunjuk perasaan.

Simbol mata pula diangkat lambang Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) pada 1999.

“Melalui satu adegan lain, kita pun tahu bahawa (isterinya) Dr Wan Azizah Wan Ismail seharian di pintu masuk ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman, menunggu akan khabar hidup mati suaminya,” cerita seniman itu lagi.

Nadi filem

Watak Dr Wan Azizah yang dibawa pelakon negara jiran Acha Septriasa disifatkan paling berkesan dan menjadi nadi penghidup filem arahan Viva Westi, yang juga dari Indonesia.

“Ramai penonton boleh menerima bahawa watak Dr Wan Azizah yang dibawa oleh Acha adalah watak paling berkesan dalam filem ini,” kata Noor Amin Ahmad, penulis buku biografi Anwar dan bekas ahli parlimen KEADILAN, selepas tayangan perdana.

“Berkesan dalam maksud berjaya menjentik emosi kita. Tidak keterlaluan jika The Untold Story sebenar, asas kekuatan Anwar itu, ialah Dr Wan Azizah, ibu (Gerakan) Reformasi.”

Farid Kamil memegang watak Anwar, sementara Hasnul Rahmat pula perdana menteri waktu itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Saskia Chadwick (Nurul Izzah Anwar) dan Rafaat Hamzah (Rahim Noor).

Antara babak dalam filem Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Foto Instagram Bianglala Entertainment

Penerbit eksekutifnya Zunar atau Zulkiflee Anwar Haque, seorang kartunis politik yang dikenali ramai sangat dekat dengan gerakan protes tersebut sejak 1998, turut menyediakan skrip asal.

“Karya ini kita sudah usahakan sebelum beliau menjadi perdana menteri (pada 24 November 2022) lagi. Kita, ketika itu, tidak menyangka yang beliau akan jadi perdana menteri.

“Dalam filem ini juga, banyak penggambaran dijalankan di Indonesia atas beberapa faktor halangan (politik) antaranya izin penggambaran dan pelbagai lagi,” jelasnya kepada media pada 1 Mac.

Menelan RM10 juta, filem yang sudah lama dirancang tetapi pembikinannya bermula tahun 2021, Anwar: The Untold Story akan menemui penonton di pawagam mulai 18 Mei.

Beban berat

Pyanhabib, yang tidak ketinggalan mengamati peristiwa politik itu, menyifatkan usaha Zunar itu berani.

“Meski ditangani karyawan bukan Malaysia, lupakan kekurangan yang ada. Anwar: The Untold Story sebuah mahakarya. Melihat filem ini adalah melihat isinya,” katanya lagi.

Walau ramai penonton tersentuh dengan babak-babak tertentu, Amin yang kini pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melihat lebih kritis karya ini.

“Cuma sosok Anwar itu bagi saya rumit. Di sinilah, bagi saya, kejayaan Viva mengangkat satu jalur perjuangan Anwar.

“Namun, saya fikir ia boleh diperkuatkan lagi dengan beberapa dialog, babak dan ketelitian tertentu,” katanya kepada Selangorkini.

Selepas tayangan perdana, Anwar yang menonton bersama Dr Wan Azizah mengakui  tersentuh melihat babak daripada kisah hidupnya walau beberapa dialog tidak mungkin 100 peratus tepat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke tayangan perdana filem ‘Anwar: The Untold Story’ di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 8 Mei 2023. Foto Facebook Bernama

“Sepanjang tempoh hidup derita di dalam penjara, hanya sekali saya menangis iaitu apabila ibu saya meninggal dunia. (Detik) itu saya memang tidak boleh kawal, yang lain-lain itu senyum dalam tangisan.

“Saya sukar mengulas filem itu disebabkan kadang-kadang ada episod dalam kehidupan, yang saya mahu lupakan kerana ia amat menyakitkan dan menyedihkan.

“Berat beban itu juga banyak ditanggung oleh Azizah, anak-anak dan rakan-rakan.

“Cukuplah dengan beban yang saya lalui.”

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, yang hadir menonton bersama Anwar di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur, menyanyikan lagu tema filem ini Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto.

“Saya terima tawaran menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini. Ia bukan hanya gambaran kesetiaan Dr Wan Azizah (kepada Anwar), tetapi secara amnya untuk wanita yang setia mencintai pasangan.

“Saya amat tertarik dengan mesej dalam lagu ini. Saya faham lirik lagu Menjaga Cintamu ini lebih kepada pengorbanan seorang isteri dan cinta yang tiada tolok bandingan,” katanya kepada portal Berita Harian pada 3 April.


Pengarang :