Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad meninjau kerja menaik taraf dan menurap semula tempat letak kereta Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNBERITA UTAMASELANGOR

RM50,000 belanja naik taraf infrastruktur Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu

SHAH ALAM, 18 MEI: Sejumlah RM50,000 diperuntuk bagi menaik taraf  kemudahan tempat letak kereta dan menurap jalan di kawasan Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menerusi Facebook memaklumkan ia adalah menerusi peruntukan daripada Projek Selangor Penyayang (PSP) 1.

“Kawasan ini dipilih kerana sebelum ini keadaan jalan sangat menyedihkan dengan lopak air dan jalan berlubang yang menyukarkan pergerakan.

“Klinik ini dikunjungi lebih 200 orang sehari dan keselesaan pesakit yang datang wajar diberi keutamaan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata kemudahan yang dinaiktaraf diharap dapat memberi manfaat kepada pengguna dan kakitangan klinik berkenaan.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.


Pengarang :