SHAH ALAM, 19 MEI: Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada orang ramai sempena Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor di sembilan daerah negeri ini bermula Jun.
EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bakal disertai kira-kira 200 syarikat daripada pelbagai sektor.
“Karnival ini akan menjelajah ke sembilan daerah di negeri ini sehingga Disember.
“Rakyat Selangor yang sedang mencari kerja perlu menggunakan peluang keemasan ini,” katanya kepada Selangorkini.
Selain itu, Ganabatirau berkata 120 individu berjaya mendapat pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Selangor 2023 yang diadakan pada 6 dan 7 Mei lalu.
“Sebanyak 959 pemohon lagi layak untuk sesi temuduga kedua,” katanya.
Sebelum ini Ganabatirau berkata seramai 2,500 individu berjaya mendapat penempatan pekerjaan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri menerusi karnival kerjaya yang dikendalikan UPPS dari November 2021 hingga 6 Mei lalu.