Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala

SHAH ALAM, 19 MEI: Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota sukarelawan polis jam 11.30 malam, mengatakan terdapat kejadian tembak.

“Pengadu yang bertugas di kawasan Balai Polis Sungai Jarom mendengar beberapa letupan kuat berhampiran Balai Polis Sungai Jarom dan terus menuju ke kawasan kejadian.

“Pengadu mendapati seorang lelaki warga tempatan terbaring kaku di bahu jalan dalam keadaan berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata klinik kesihatan Telok Panglima Garang mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala, dan unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian.

Katanya hasil siasatan polis, mangsa yang berusia 39 tahun itu memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Polis giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

– BERNAMA


Pengarang :