Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menyantuni anak asnaf Pertubuhan Dar Asnaf Al Fateeh Al Idrisiah, Hulu Selangor di Pusat Pakaian Hari-Hari, Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 April 2023. Foto Facebook SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Ahli parlimen PN hargai usaha penyelaras DUN Batang Kali bantu rakyat

SHAH ALAM, 19 MEI: Ahli Parlimen Hulu Selangor menyambut baik keprihatian penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali untuk membantunya menyalur bantuan kepada penduduk.

Hasnizan Harun dari Perikatan Nasional (PN) turut berterima kasih atas maklum balas pantas Saifuddin Shafi Muhammad berikutan beliau berdepan masalah untuk memberi sumbangan kebajikan.

“Walaupun saya dapat makluman respon tersebut menerusi orang lain, namun saya menyambut baik dan ucapan terima kasih saya mewakili warga DUN Batang Kali.

“Sikap seperti ini yang kita mahukan demi kepentingan rakyat,” katanya di Facebook hari ini.

Beberapa jam sebelum itu, beliau menulis di media sosial tersebut mengenai masalah berkaitan kesukarannya untuk menyediakan kebajikan untuk rakyat sebelum Saifuddin menawarkan bantuan.

Hasnizan turut berkongsi maklumat talian Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali iaitu 018-2230621 atau 03-60817080 untuk rujukan penduduk yang memerlukan sumbangan.

Dalam kenyataan balas tadi, Saifuddin berkata beliau sedia mengetepi perbezaan fahaman politik dan menyatakan kesediaan membantu Hasnizan dalam menyalur bantuan kepada penduduk.

Turut menerima banyak permohonan bantuan, beliau berkata peruntukan sumbangan atau kerja baik pulih projek kecil masih ada walau tempoh perkhidmatannya berbaki kurang dua bulan.

Mandat Kerajaan Selangor berakhir berikutan Dewan Undangan Negeri terbubar secara automatik pada 25 Jun. Selangor tidak menyertai pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu.


Pengarang :