Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peserta teruja sertai Festival Turath, mahu dekati bekas mufti besar Mesir

SHAH ALAM, 20 MEI: Seorang rakyat Indonesia sanggup datang ke Malaysia semata-mata mahu mengikuti Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Pelajar Pondok Wali Songo Situbondo Jawa Timur, Nureszien, 32, berkata walaupun tidak pernah datang ke Malaysia tetapi dia memberanikan diri mengikuti Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin yang dikupas bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Peserta Indonesia Pondok Wali Songo Situ Bonda Jawa Timur, Nureszien, 32, ditemui ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tiba di Malaysia pada 16 Mei lalu dan memang datang khas ikuti program ini. Perjalanan program sangat luar biasa dan dapat banyak ilmu selain menjadi sumber pelajaran sebagai muslim.

“Ilmu makanan syurga dan biarpun sebelum ini ada belajar kitab karya Imam al-Ghazali tetapi aliran ilmunya berbeza kerana gurunya berlainan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz Razali, 24, berkata dia datang dari Terengganu bersama rakannya hanya kerana mahu bertemu dengan Syeikh Dr Ali Jum’ah.

“Saya mengetahui majlis ini dua minggu lalu dan terus merancang mengikutinya kerana Syeikh Dr Ali Jum’ah mempunyai ilmu yang padat.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang, Abdul Aziz Razali, 24, ditemui ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kupasan kitab ini bagus kerana menggalakkan umat Islam membaiki ibadat. Saya berharap lebih banyak lagi program ini dianjurkan dengan menterjemahkan kitab lain,” kata penuntut Universiti Malaysia Pahang itu.

Bagi Sofea Hany Natasha Muhamad Azhar, 23, kehadiran tokoh ulama antarabangsa itu dinanti dan satu penghargaan.

“Saya pernah belajar bersama beliau di Mesir pada 2019 dan cara didikannya amat berbeza dan banyak beri motivasi kepada pelajar.

“Beliau mempunyai pemikiran turath dan memberi penekanan dengan ulama sendiri bukannya sendiri tanpa guru, oleh itu kehadirannya sebagai ilmuan amat disanjungi,” katanya.

Sofea Hany Natasha Muhamad Azhar, 23, ditemui ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga 25 Mei ini dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Menampilkan beberapa tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.


Pengarang :