Kumpulan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) merakam kenangan di kem 2 pada 15 Mei 2023. Foto Facebook Malaysia Everest 2023
AGENDANASIONAL

Jenazah Pengarah APM Kedah akan dibawa pulang, penuhi hasrat keluarga

PAPAR, 20 MEI: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) bersedia membantu membawa pulang jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub pulang ke tanah air.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini termasuk usaha pihaknya untuk memenuhi hasrat keluarga Allahyarham yang ingin jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Benoni di sini.

“Yang paling penting sekarang ini adalah untuk kita bekerjasama rapat dengan anggota keselamatan di Nepal supaya mereka dapat membantu kita bawa jenazah turun ke base camp seterusnya kita membantu membawa jenazah balik ke Malaysia dan terus ke kampung (Benoni) untuk proses pengebumian.

“Setakat ini, kita difahamkan bahawa urusan untuk membawa turun jenazah dari puncak Everest mengambil masa lebih kurang tiga hari. Satu operasi menyelamat yang agak mencabar.

“Pihak kedutaan kita di Nepal telah bekerjasama dengan pasukan yang bertanggungjawab di sana untuk membantu mempermudah proses,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Papar dan Dewan Undangan Negeri Kawang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat di sini hari ini.

Awang Askandar, 56, meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest di Himalaya dan perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed selepas menerima makluman daripada Chef De Mission misi Malaysia Everest 2023 Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub daripada kenalan arwah. Foto Facebook Malaysia Everest 2023

Armizan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya amat mendukacitakan yang turut memberi kesan kepada seluruh anggota APM.

“APM merupakan antara agensi di bawah kawal selia saya. Di JPM, kita tahu Allahyarham merupakan seorang individu yang amat komited. Hasrat beliau untuk menakluki Everest sudah sekian lama.

“Tahun lalu pun beliau pergi dan sebelum berangkat, beliau sempat bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan tahun ini, sebenarnya sebelum berangkat ke Nepal kumpulan mereka telah bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di bangunan parlimen,” katanya.

Armizan berkata beliau mengenali Allahyarham secara peribadi kerana sebelum ini mereka pernah berkhidmat di Biro Tatanegara.

– BERNAMA


Pengarang :