SHAH ALAM, 21 MEI: Imam Ghazali menerusi kitab Ihya Ulumuddin menceritakan perjalanan panjang yang ditempuh beliau sepanjang mencari ilmu termasuk yang disampaikan Imam Shafie.
Mantan Mufti Agung Republik Rakyat Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah berkata ketika itu ramai individu dari Iraq, Mesir dan Maghribi menggali lautan ilmu Imam Shafie bagi menghasilkan kitab masing-masing.
“Mazhab Imam Shafie kaya dengan ilmu dan istilah atau terminalogi sehingga kita mendapati kitab-kitab terbabit tersusun dengan kalimah masyhur.
“Dengan istilah dan terminalogi itu, ilmu yang mahu disampaikan tersusun,” katanya pada Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini malam tadi.
Kupasan itu diterjemah pendakwah bebas, Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.
Tokoh ulama antarabangsa itu juga berkata karya Ihya’ Ulumuddin turut menekankan kepentingan solat dan dianggap sebagai tiang agama.
“Dalam kitab ini Imam Ghazali menyentuh keutamaan solat fardu dan mereka yang melaksanakannya boleh diampunkan dosa antara dua solat.
“Solat wajib dijaga seperti kamu menjaga nyawa sendiri. Solat juga merupakan penghubung antara manusia dengan Allah selain perlu melakukan solat dengan khusyuk kerana ia roh dan perlu ada dalam hati,” katanya.
Program sempena Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.
Menampilkan beberapa tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.