Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (kiri) dan Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) Jay Khairil Jeremy Abdullah bergambar bersama sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dan BSN di Bangunan Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS, BSN jalin kerjasama tawar pelbagai pakej pembiayaan rumah

SHAH ALAM, 23 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menawarkan pelbagai kemudahan pembiayaan perumahan, hari ini

Majlis yang berlangsung di ibu pejabat PKNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas manakala BSN oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Jay Khairil.

Mahmud berkata menerusi kerjasama itu, pembeli rumah ditawarkan pelbagai pakej pembayaran mengikut keperluan dan kelayakan mereka.

“Jalinan kerjasama strategik ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan. Ini merupakan usaha meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutama belia dan pembeli rumah pertama.

“Kerjasama ini mampu meningkatkan kemajuan sektor perumahan terutama di Selangor menerusi tawaran pakej pembiayaan komprehensif sama ada projek pembangunan hartanah yang telah siap atau sedang dibina,” katanya pada sidang media selepas memeterai MoU di ibu pejabat PKNS di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga,kiri) dan Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) Jay Khairil Jeremy Abdullah (tiga,kanan) bergambar bersama sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dan BSN di Bangunan Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil berkata pembeli berpeluang memenangi kelengkapan rumah sehingga RM50,000, selain kemudahan pembiayaan perumahan dengan margin sehingga 100 peratus merangkumi kos seperti perlindungan takaful gadai janji, yuran guaman dan yuran penilaian dengan tempoh sehingga 35 tahun.

“BSN turut menawarkan khidmat nasihat bagi membantu pelanggan merancang pengurusan kewangan,” katanya.

Pembeli rumah PKNS boleh mendapat maklumat lanjut mengenai hadiah kelengkapan rumah berharga sehingga RM50,000 melalui laman web www.bsn.com.

 

 


Pengarang :