Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Luaskan pengajian ilmu turath, lahirkan masyarakat peduli akhirat

GOMBAK, 24 MEI: Pengajian kitab-kitab turath perlu diperluas dan disuburkan bagi mengelakkan budaya konsumerisme atau tabiat berbelanja boros terus merebak, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah wajar dipergiat selepas melihat cabaran dunia hari ini yang menyebabkan manusia seolah-olah tidak mempedulikan kehidupan akhirat.

“Ini akibat perkembangan pesat teknologi masa kini. Menyebabkan krisis nilai yang antara lain menjadikan budaya konsumerisme kian merebak.

“Jadi saya menyarankan penyebaran dan penyuburan pengajian kitab turath antaranya kitab dalam tradisi Sunni seperti Fathul Bari Imam Ibn Hajar, Tafsir at-Tabari, al-Majmu’ Imam An-Nawawi,” katanya.

Beliau merasmikan program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Amirudin berkata usaha itu bukan menganggap kemajuan bidang ekonomi, politik dan perundangan tidak penting sebaliknya mahu menguatkan kehidupan individu dan masyarakat dalam mendepani cabaran.

Majlis berkenaan dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah turut disertai 145 ulama dari pelbagai institusi pengajian Islam tradisional, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muslim.

Majlis dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah turut disertai 145 ulama dari institusi pengajian Islam tradisional, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muslim.

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga esok anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia dengan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.turathislamiselangor.com

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.


Pengarang :