AGENDANASIONAL

Individu 35 hingga 44 tahun paling ramai diisytihar muflis

SHAH ALAM, 24 MEI: Individu berumur 35 hingga 44 tahun adalah golongan paling ramai diisytihar muflis berdasarkan statistik dari 2019 hingga kini melibatkan 13,073 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata bagi tempoh sama 5,297 individu berusia 55 tahun ke atas diisytiharkan muflis selain 107 lagi berusia 25 tahun ke bawah.

“Jantina lelaki paling ramai diisytihar muflis bagi tempoh sama membabitkan 25,104 dan 8,912 perempuan.

“Selain itu, kaum Melayu paling ramai diisytihar bankrap iaitu 19,791 orang,” kata Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau berdasarkan statistik, pinjaman peribadi adalah sebab utama keberhutangan dalam kes kebankrapan membabitkan 49.2 peratus berbanding lain-lain jenis pinjaman kewangan.

“Ia meliputi pinjaman peribadi sama ada bercagar atau tidak bercagar dari institusi perbankan serta pinjaman peribadi dari pemberi pinjam wang selain dari institusi perbankan dan ‘friendly-loan’ dari orang perseorangan,” katanya.

Katanya antara usaha kerajaan dalam membantu golongan bankrap termasuk meningkatkan had minimum muflis dari RM50,000 kepada RM100,000.

“Selain itu, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu golongan bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil di bawah jumlah RM50,000 yang memenuhi syarat dapat dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac lalu.

“Setakat 30 April lalu sebanyak 4,228 kes melibatkan individu bankrap yang berhutang dalam skala kecil telah dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI),” katanya.


Pengarang :