Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia membeli-belah barangan keperluan pada harga murah di padang Sekretariat PEPIAS, Kg Changkat Gombak pada 24 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
AGENDANASIONAL

Lebih 15 kali datang jualan murah, suri rumah puji pelbagai inisiatif negeri

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 24 MEI: Lebih 15 kali ke program Jelajah Ehsan Rakyat (JER), seorang suri rumah memuji pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan beban rakyat.

Hariyati Abd Ghaffar, 46, berkata dia kerap ke jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di lokasi berdekatan rumahnya seperti di Sungai Pusu, Greenwood, Batu Caves dan juga Gombak Setia.

Hariyati Abd Ghaffar. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Suami bekerja sebagai pembantu gerai makanan dan kami juga menjaga tiga orang anak saudara yatim piatu selain dua orang anak sendiri. Memang susah dengan pendapatan kecil untuk penuhi keperluan anak-anak yang semakin membesar.

“Alhamdulillah…bersyukur sangat dengan Kerajaan Negeri sekarang. Saya juga terima manfaat seperti Kad Peduli Sihat, bantuan bulanan BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor) dan INSAN (Skim Insurans Am Selangor),” katanya ketika ditemui di JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hari ini.

Seorang penduduk, Sutina Manas, 55, yang bekerja sebagai tukang jahit pula berpendapat jualan murah sangat diperlukan masyarakat kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.

Sutina Manas. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Kalau boleh mahu beli barang di sini (JER) sahaja kerana harga ayam, ikan dan minyak masak yang dijual memang murah selain kualiti barang juga elok” katanya.

Sementara itu, wakil pejabat penyelaras DUN Gombak Setia Ahmad Fauzi Shah Hariri berkata menerusi maklum balas penduduk, permintaan untuk penganjuran jualan murah ini sangat tinggi.

“Penduduk mahu JER ini kerap diadakan. Selain itu, mereka juga banyak membantu secara sukarela bila diadakan di kawasan mereka. Bagi saya, kerjasama ini amat penting kerana kita juga dapat memilih kawasan strategik untuk sasarkan jualan pada kumpulan yang memerlukan,” katanya.

Ahmad Fauzi Shah Hariri. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Terdahulu, sebanyak 500 ekor ayam, 300 ekor ikan dan 300 pek daging pejal habis dijual dalam tempoh satu jam setengah pada jualan di padang Sekretariat PEPIAS, Kampung Changkat, Gombak pagi tadi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia membeli-belah barangan keperluan pada harga murah di padang Sekretariat PEPIAS, Kg Changkat Gombak pada 24 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.

Pengarang :