Seramai 55 guru sekolah menengah agama menyertai bengkel Pemantapan Modul Pendidikan Zakat Selangor anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Tingkat pemahaman, 55 guru sertai bengkel modul pendidikan zakat LZS

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 MEI: Seramai 55 guru sekolah menengah agama menyertai bengkel Pemantapan Modul Pendidikan Zakat Selangor anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) kelmarin.

Agensi itu memaklumkan program dua hari bermula 22 Mei bertujuan memantapkan lagi pemahaman guru terhadap modul pendidikan zakat sebelum mengajarnya kepada pelajar.

“Susulan pelancaran modul pendidikan zakat Selangor pada 2022 kepada guru sekolah agama menengah dan rendah, Jabatan Perancangan dan Pembangunan, Divisyen Kutipan LZS meneruskan bengkel ini.

“Seramai 55 guru sekolah menengah agama dijemput menghadiri bengkel ini agar mereka betul-betul mendapat kefahaman yang mantap untuk mengajar modul zakat kepada pelajar,” katanya menerusi Facebook.

LZS memaklumkan bengkel terbabit akan diteruskan lagi kepada seluruh wakil guru pengajar sekolah rendah agama di setiap daerah dengan Da’i LZS menjadi tenaga pengajar.

“LZS adalah perintis pertama mewujudkan modul atau buku pelajaran agama berkaitan zakat di Malaysia. Program ini akan diteruskan lagi diperingkat institut pengajian tinggi di masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS berkata Modul Pendidikan Zakat Selangor digunakan bagi sesi pembelajaran di 553 sekolah membabitkan sekolah rendah, menengah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) bermula Mac.

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sesi pendidikan zakat itu membabitkan 268,412 pelajar sekolah rendah (251, 456) dan menengah (16,956) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pelaksanaan pembangunan modul tersebut dibangunkan menggunakan peruntukan Fisabilillah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM248,000.

 

 


Pengarang :